Langkau ke kandungan
Hadis dengan huraian

The Creed

75 hadis

Islam ialah engkau bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu Rasul Allah, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah jika engkau mampu melaksanakannya

عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ، شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ، لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ، وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ، حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ، وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ، وَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ، أَخْبِرْنِي عَنِ الْإِسْلَامِ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ، وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ، وَتَصُومَ رَمَضَانَ، وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنِ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلًا» قَالَ: صَدَقْتَ، قَالَ: فَعَجِبْنَا لَهُ، يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ، قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنِ الْإِيمَانِ، قَالَ: «أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ، وَمَلَائِكَتِهِ، وَكُتُبِهِ، وَرُسُلِهِ، وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ» قَالَ: صَدَقْتَ، قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنِ الْإِحْسَانِ، قَالَ: «أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ» قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنِ السَّاعَةِ، قَالَ: «مَا الْمَسْؤُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ» قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَتِهَا، قَالَ: «أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا، وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ» قَالَ: ثُمَّ انْطَلَقَ، فَلَبِثْتُ مَلِيًّا ثُمَّ قَالَ لِي: «يَا عُمَرُ، أَتَدْرِي مَنِ السَّائِلُ؟» قُلْتُ: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: «فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ، أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ».
Daripada ʿUmar bin al-Khaṭṭāb رضي الله عنه berkata: Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah صلى الله عليه وسلم pada suatu hari, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda permusafiran, dan tiada seorang pun daripada kami yang mengenalinya. Dia duduk berhadapan dengan Nabi صلى الله عليه وسلم, lalu merapatkan kedua-dua lututnya kepada lutut Baginda dan meletakkan kedua-dua tangannya di atas kedua peha baginda, seraya berkata: "Wahai Muhammad, beritahulah aku tentang Islam." Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Islam ialah engkau bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu Rasul Allah, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah jika engkau mampu melaksanakannya." Dia berkata: "Benar." ʿUmar berkata: "Kami merasa hairan kepadanya, dia bertanya tetapi dia juga membenarkannya." Dia berkata: "Beritahulah aku tentang iman." Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: "Engkau beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, hari akhirat, dan engkau beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk." Dia berkata: "Benar." Dia berkata: "Beritahulah aku tentang ihsan." Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: "Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, jika engkau tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu." Dia berkata: "Beritahulah aku tentang hari kiamat." Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: "Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui tentangnya berbanding orang yang bertanya." Dia berkata: "Beritahulah aku tentang tanda-tandanya." Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: "Apabila seorang hamba melahirkan tuannya, dan apabila engkau melihat orang-orang yang tidak berkaki ayam, tidak berpakaian, dan miskin, pengembala kambing, berlumba-lumba meninggikan bangunan." ʿUmar berkata: "Kemudian lelaki itu pun pergi, lalu aku diam beberapa ketika. Setelah itu Baginda صلى الله عليه وسلم berkata kepadaku: "Wahai ʿUmar, tahukah engkau siapa orang yang bertanya tadi?" Aku berkata: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: "Sesungguhnya dia adalah Jibril, dia datang untuk mengajar kamu tentang agama kamu."
رواه مسلمDarjatصحيح
Huraian

Umar bin al-Khattab رضي الله عنه menceritakan bahawa Jibril عليه السلام datang kepada para sahabat رضي الله عنهم dalam rupa seorang lelaki yang tidak dikenali. Antara sifatnya ialah pakaiannya yang sangat putih dan rambutnya yang sangat hitam. Tidak kelihatan padanya tanda-tanda permusafiran seperti kepenatan, debu, rambut kusut atau pakaian yang kotor, dan tiada seorang pun daripada mereka mengenalinya. Ketika itu mereka sedang duduk bersama Nabi صلى الله عليه وسلم. Lalu dia duduk di hadapan Nabi صلى الله عليه وسلم sebagaimana duduk seorang penuntut ilmu, lalu dia bertanya baginda tentang Islam. Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab dengan menyebut rukun-rukunnya yang merangkumi pengakuan dua kalimah syahadah, menjaga solat lima waktu, menunaikan zakat kepada yang berhak, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan ibadah haji bagi yang berkemampuan. Lelaki itu berkata: “Benar.” Para sahabat pun berasa hairan kerana dia bertanya seolah-olah tidak mengetahui, namun kemudian dia sendiri membenarkan jawapan tersebut. Kemudian lelaki itu bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم tentang iman. Baginda menjawab dengan menyebut enam rukun iman yang merangkumi keimanan kepada kewujudan Allah ﷻ dan sifat-sifat-Nya, mengesakan-Nya dalam perbuatan-Nya seperti mencipta dan mengesakan-Nya dalam ibadah; beriman kepada para malaikat yang diciptakan oleh Allah daripada cahaya, yang merupakan hamba-hamba-Nya yang dimuliakan, tidak menderhakai-Nya dan sentiasa melaksanakan perintah-Nya; beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah kepada para rasul-Nya, seperti al-Quran, Taurat, Injil dan lain-lain; beriman kepada para rasul yang diutus untuk menyampaikan agama Allah, antaranya Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan yang terakhir Muhammad صلى الله عليهم وسلم serta nabi dan rasul yang lain; beriman kepada hari akhirat, yang merangkumi peristiwa selepas kematian seperti alam kubur dan kehidupan barzakh, bahawa manusia akan dibangkitkan selepas mati dan dihisab, lalu ditentukan tempatnya sama ada di syurga atau di neraka dan beriman bahawa Allah telah menetapkan segala sesuatu berdasarkan ilmu-Nya yang terdahulu, mengikut hikmah-Nya, telah ditulis-Nya, dikehendaki-Nya, terjadi seperti yang telah ditetapkan dan Dialah yang menciptakannya. Kemudian lelaki itu bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم tentang ihsan. Baginda menjelaskan bahawa ihsan ialah beribadah kepada Allah seolah-olah seseorang itu melihat-Nya. Jika dia tidak mencapai kedudukan tersebut, maka hendaklah dia beribadah kepada Allah (dengan penuh kesedaran) bahawa Allah sentiasa melihatnya. Kedudukan yang pertama dinamakan martabat musyahadah, iaitu martabat yang paling tinggi, manakala yang kedua dinamakan martabat muraqabah. Kemudian lelaki itu bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم: “Bilakah berlaku hari kiamat?” Maka Baginda menjelaskan bahawa pengetahuan tentang waktu berlakunya kiamat adalah daripada perkara ghaib yang hanya Allah mengetahuinya. Tiada seorang pun dalam kalangan makhluk yang mengetahuinya, sama ada yang ditanya mahupun yang bertanya. Setelah itu lelaki itu bertanya tentang tanda-tanda kiamat? Nabi صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa antara tanda-tandanya ialah banyaknya hamba perempuan dan anak-anak mereka, atau banyaknya anak yang menderhakai ibu mereka sehingga memperlakukan mereka seperti hamba. Selain itu, para pengembala kambing dan golongan fakir miskin akan diberikan keluasan dunia pada akhir zaman, lalu mereka berbangga-bangga dalam menghias dan membina bangunan yang megah. Akhirnya Nabi صلى الله عليه وسلم memberitahu bahawa lelaki yang bertanya itu ialah Malaikat Jibril عليه السلام yang datang untuk mengajar para sahabat رضي الله عنهم tentang agama Islam yang suci ini.

Faedah
  1. Akhlak Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang mulia, baginda duduk bersama para sahabat رضي الله عنهم dan mereka juga duduk berhampiran dengan baginda.
  2. Pensyariatan untuk berlemah-lembut terhadap orang yang bertanya dan mendekatinya, supaya dia dapat bertanya dengan tenang tanpa rasa segan atau takut.
  3. Adab bersama guru, sebagaimana yang dilakukan oleh Jibril عليه السلام ketika duduk di hadapan Nabi صلى الله عليه وسلم dengan penuh sopan untuk mengambil ilmu daripadanya.
  4. Rukun Islam ada lima, dan asas iman ada enam.
  5. Apabila Islam dan iman disebut secara bersama, maka Islam ditafsirkan dengan perkara-perkara zahir, manakala iman ditafsirkan dengan perkara-perkara batin.
  6. Penjelasan bahawa agama ini memiliki beberapa darjat: Darjat pertama ialah Islam, kedua ialah iman, dan ketiga ialah ihsan, yang merupakan darjat tertinggi.
  7. Asal bagi orang yang bertanya adalah tidak mengetahui, dan kejahilanlah yang mendorong seseorang untuk bertanya. Oleh itu, para sahabat رضي الله عنهم berasa hairan dengan soalan lelaki tersebut dan kemudian dia sendiri membenarkannya.
  8. Memulakan dengan perkara yang paling utama, kemudian diikuti dengan yang seterusnya kerana penjelasan tentang Islam dimulai dengan dua kalimah syahadah, manakala penjelasan tentang iman dimulai dengan keimanan kepada Allah.
  9. Orang yang berilmu boleh ditanya tentang perkara yang penyoal sendiri sudah tahu, dengan tujuan agar orang lain dapat mempelajarinya.
  10. Pengetahuan tentang waktu berlakunya kiamat adalah perkara yang hanya Allah sahaja mengetahuinya.
Rujukan

صحيح مسلم (1/ 36) (8). التحفة الربانية في شرح الأربعين حديثا النووية (ص7). شرح الأربعين النووية، لابن عثيمين (ص19). فتح القوي المتين في شرح الأربعين وتتمة الخمسين، للعباد (ص15). الأحاديث الأربعون النووية وعليها الشرح الموجز المفيد، لعبد الله المحسن (ص7). تاج العروس من جواهر القاموس، للزبيدي (2/ 460).

Hadis ini di HadeethEnc.com

Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas Diri-Ku, dan menjadikannya haram antara kamu semua, maka janganlah kamu menzalimi antara satu sama lain

عن أبي ذر رضي الله عنه: عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا رَوَى عَنِ اللهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَنَّهُ قَالَ: «يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا، فَلَا تَظَالَمُوا، يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ ضَالٌّ إِلَّا مَنْ هَدَيْتُهُ، فَاسْتَهْدُونِي أَهْدِكُمْ، يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ جَائِعٌ إِلَّا مَنْ أَطْعَمْتُهُ، فَاسْتَطْعِمُونِي أُطْعِمْكُمْ، يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ عَارٍ إِلَّا مَنْ كَسَوْتُهُ، فَاسْتَكْسُونِي أَكْسُكُمْ، يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ تُخْطِئُونَ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَأَنَا أَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا فَاسْتَغْفِرُونِي أَغْفِرْ لَكُمْ، يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضَرِّي فَتَضُرُّونِي، وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي فَتَنْفَعُونِي، يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَتْقَى قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ مَا زَادَ ذَلِكَ فِي مُلْكِي شَيْئًا، يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئًا، يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ فَسَأَلُونِي فَأَعْطَيْتُ كُلَّ إِنْسَانٍ مَسْأَلَتَهُ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إِلَّا كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَطُ إِذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ، يَا عِبَادِي إِنَّمَا هِيَ أَعْمَالُكُمْ أُحْصِيهَا لَكُمْ ثُمَّ أُوَفِّيكُمْ إِيَّاهَا، فَمَنْ وَجَدَ خَيْرًا فَلْيَحْمَدِ اللهَ، وَمَنْ وَجَدَ غَيْرَ ذَلِكَ فَلَا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ».
Daripada Abu Zar رضي الله عنه: Daripada Nabi صلى الله عليه وسلم menceritakan daripada Allah تبارك وتعالى bahawa Dia berfirman: “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas Diri-Ku, dan menjadikannya haram antara kamu semua, maka janganlah kamu menzalimi antara satu sama lain. Wahai hamba-hamba-Ku! Kesemua kamu dalam keadaan sesat kecuali orang yang Aku berikan hidayah kepadanya, maka mintalah petunjuk daripada-Ku, nescaya Aku tunjukkan kepadamu. Wahai hamba-hamba-Ku! Kesemua kamu dalam keadaan lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka mintalah makanan daripada-Ku, nescaya Aku beri kamu makan. Wahai hamba-hamba-Ku! Kesemua kamu dalam keadaan telanjang kecuali orang yang Aku beri pakaian, maka mintalah pakaian daripada-Ku, nescaya Aku mengurniakan pakaian kepadamu. Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya kamu melakukan kesalahan pada siang dan malam, dan Aku mengampuni segala dosa, maka mohonlah ampun daripada-Ku, nescaya Aku ampunkan dosa-dosamu. Wahai hamba-hamba-Ku! Kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Ku yang boleh memudaratkan Aku dan kamu tidak akan boleh memberi manfaat kepada-Ku yang Aku boleh mendapat manfaat tersebut. Wahai hamba-hamba-Ku! Sekiranya seluruh kamu daripada permulaan hingga penghujung, manusia dan jin, memiliki sebaik-baik hati maka ia tidak akan menambah apa-apa pun pada kerajaan-Ku. Wahai hamba-hamba-Ku! Sekiranya seluruh kamu dari permulaan hingga penghujung, manusia dan jin, memiliki sejahat-jahat hati maka ia tidak akan mengurangkan apa-apa pun daripada kerajaan-Ku. Wahai hamba-hamba-Ku! Sekiranya seluruh kamu, manusia dan jin, berkumpul di satu tempat dan meminta daripada-Ku, lalu Aku memberi setiap seorang apa yang dimintanya, tidak akan berkurang sedikit pun daripada milik-Ku, kecuali seperti jarum yang dimasukkan ke dalam laut. Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya ia hanyalah amalan-amalanmu yang akan Aku hitung, kemudian Aku akan membalasnya kepadamu. Sesiapa yang mendapat kebaikan, hendaklah dia memuji Allah, dan sesiapa yang mendapat selain itu, janganlah dia menyalahkan selain dirinya sendiri.”
رواه مسلمDarjatصحيح
Huraian

Nabi صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa Allah سبحانه وتعالى berfirman bahawa Dia telah mengharamkan kezaliman ke atas Diri-Nya sendiri, dan menjadikannya haram di antara makhluk-Nya, maka tiada seorang pun boleh menzalimi yang lain. Seluruh makhluk berada dalam keadaan sesat daripada jalan yang benar kecuali dengan hidayah dan petunjuk Allah, dan sesiapa yang meminta petunjuk-Nya, Allah akan memberi kefahaman agama dan hidayah kepadanya. Semua makhluk dalam keadaan fakir dan memerlukan Allah dalam semua keperluan mereka. Sesiapa yang memohon kepada Allah maka Dia akan memenuhi hajatnya dan mencukupkannya. Manusia melakukan dosa pada siang dan malam, dan Allah سبحانه وتعالى menutup aib serta mengampuni dosa-dosa mereka apabila mereka memohon ampun kepada-Nya. Mereka tidak mampu memberi mudarat atau manfaat kepada Allah dengan apa jua cara sekalipun. Sekiranya seluruh manusia dan jin memiliki hati paling takwa sekalipun, tidak akan menambah apa-apa pada kerajaan Allah. Dan sekiranya mereka memiliki hati paling jahat sekalipun, tidak akan mengurangkan sedikit pun daripada kekuasaan-Nya; kerana mereka lemah dan memerlukan Allah, sentiasa memerlukan-Nya dalam setiap keadaan, masa dan tempat, sedangkan Dia Maha Kaya سبحانه. Sekiranya seluruh manusia dan jin, dari yang pertama hingga yang terakhir, berkumpul di satu tempat dan memohon kepada Allah, lalu Allah memenuhi permintaan masing-masing, maka hal itu tidak mengurangkan sedikit pun apa yang ada pada-Nya — ibarat jarum yang dimasukkan ke dalam laut, apabila dikeluarkan tidak mengurangkan laut sedikit pun — ini menunjukkan kesempurnaan kekayaan-Nya سبحانه. Dan bahawa Allah سبحانه mencatat setiap amal hamba-Nya dan menghitungnya, kemudian membalas mereka dengan sempurna pada hari kiamat. Maka sesiapa yang mendapati balasan amalnya adalah kebaikan, hendaklah dia memuji Allah atas petunjuk dan taufik-Nya dalam ketaatan. Sesiapa yang mendapati balasan amalnya sebaliknya, maka tidak boleh menyalahkan sesiapa selain dirinya sendiri, iaitu nafsu amarah yang menuntunnya ke arah kerugian.

Faedah
  1. Hadis ini termasuk antara hadis yang diriwayatkan oleh Nabi ﷺ daripada Allah, dan disebut sebagai hadis qudsi atau ilahi. Lafaznya daripada Nabi ﷺ, tetapi maknanya daripada Allah. Ia berbeza dengan al-Quran kerana tidak memiliki sifat-sifat al-Quran seperti dianggap sebagai ibadah dengan membacanya, kesucian, (terkandung ayat-ayat yang bersifat) mencabar, bersifat mukjizat dan lain-lain lagi.
  2. Segala yang diperoleh hamba berbentuk ilmu atau petunjuk adalah hasil hidayah dan pengajaran Allah.
  3. Segala kebaikan yang diterima oleh hamba adalah daripada kebaikan Allah, manakala segala keburukan yang menimpanya berpunca daripada dirinya sendiri dan hawa nafsunya.
  4. Sesiapa yang berbuat baik maka ia kerana taufik Allah dan balasannya adalah kelebihan daripada Allah. Bagi-Nya segala pujian. Sesiapa yang berbuat buruk maka tidak boleh menyalahkan sesiapa selain dirinya sendiri.
Rujukan

صحيح مسلم (4/ 1994) (2577). التحفة الربانية في شرح الأربعين حديثًا النووية (ص52). شرح الأربعين النووية، لابن عثيمين (ص235). فتح القوي المتين في شرح الأربعين وتتمة الخمسين، للعباد (ص82). الأحاديث الأربعون النووية وعليها الشرح الموجز المفيد، لعبد الله المحسن (ص46).

Hadis ini di HadeethEnc.com

Setiap hadis, darjat, huraian dan faedah di sini dipaparkan tepat seperti yang diterbitkan oleh HadeethEnc.com, mengikut syarat penerbitan semulanya. Darjat itu tidak menamakan siapa yang menilainya. Terjemahan dan huraian adalah milik pengarangnya sendiri, dan sebahagiannya menyatakan hukum; penyemak Sabīl belum menelitinya. Hadis berbahasa Arablah teksnya. Sumber: HadeethEnc.com