Umar bin al-Khattab رضي الله عنه menceritakan bahawa Jibril عليه السلام datang kepada para sahabat رضي الله عنهم dalam rupa seorang lelaki yang tidak dikenali. Antara sifatnya ialah pakaiannya yang sangat putih dan rambutnya yang sangat hitam. Tidak kelihatan padanya tanda-tanda permusafiran seperti kepenatan, debu, rambut kusut atau pakaian yang kotor, dan tiada seorang pun daripada mereka mengenalinya. Ketika itu mereka sedang duduk bersama Nabi صلى الله عليه وسلم. Lalu dia duduk di hadapan Nabi صلى الله عليه وسلم sebagaimana duduk seorang penuntut ilmu, lalu dia bertanya baginda tentang Islam. Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab dengan menyebut rukun-rukunnya yang merangkumi pengakuan dua kalimah syahadah, menjaga solat lima waktu, menunaikan zakat kepada yang berhak, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan ibadah haji bagi yang berkemampuan. Lelaki itu berkata: “Benar.” Para sahabat pun berasa hairan kerana dia bertanya seolah-olah tidak mengetahui, namun kemudian dia sendiri membenarkan jawapan tersebut. Kemudian lelaki itu bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم tentang iman. Baginda menjawab dengan menyebut enam rukun iman yang merangkumi keimanan kepada kewujudan Allah ﷻ dan sifat-sifat-Nya, mengesakan-Nya dalam perbuatan-Nya seperti mencipta dan mengesakan-Nya dalam ibadah; beriman kepada para malaikat yang diciptakan oleh Allah daripada cahaya, yang merupakan hamba-hamba-Nya yang dimuliakan, tidak menderhakai-Nya dan sentiasa melaksanakan perintah-Nya; beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah kepada para rasul-Nya, seperti al-Quran, Taurat, Injil dan lain-lain; beriman kepada para rasul yang diutus untuk menyampaikan agama Allah, antaranya Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan yang terakhir Muhammad صلى الله عليهم وسلم serta nabi dan rasul yang lain; beriman kepada hari akhirat, yang merangkumi peristiwa selepas kematian seperti alam kubur dan kehidupan barzakh, bahawa manusia akan dibangkitkan selepas mati dan dihisab, lalu ditentukan tempatnya sama ada di syurga atau di neraka dan beriman bahawa Allah telah menetapkan segala sesuatu berdasarkan ilmu-Nya yang terdahulu, mengikut hikmah-Nya, telah ditulis-Nya, dikehendaki-Nya, terjadi seperti yang telah ditetapkan dan Dialah yang menciptakannya. Kemudian lelaki itu bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم tentang ihsan. Baginda menjelaskan bahawa ihsan ialah beribadah kepada Allah seolah-olah seseorang itu melihat-Nya. Jika dia tidak mencapai kedudukan tersebut, maka hendaklah dia beribadah kepada Allah (dengan penuh kesedaran) bahawa Allah sentiasa melihatnya. Kedudukan yang pertama dinamakan martabat musyahadah, iaitu martabat yang paling tinggi, manakala yang kedua dinamakan martabat muraqabah. Kemudian lelaki itu bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم: “Bilakah berlaku hari kiamat?” Maka Baginda menjelaskan bahawa pengetahuan tentang waktu berlakunya kiamat adalah daripada perkara ghaib yang hanya Allah mengetahuinya. Tiada seorang pun dalam kalangan makhluk yang mengetahuinya, sama ada yang ditanya mahupun yang bertanya. Setelah itu lelaki itu bertanya tentang tanda-tanda kiamat? Nabi صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa antara tanda-tandanya ialah banyaknya hamba perempuan dan anak-anak mereka, atau banyaknya anak yang menderhakai ibu mereka sehingga memperlakukan mereka seperti hamba. Selain itu, para pengembala kambing dan golongan fakir miskin akan diberikan keluasan dunia pada akhir zaman, lalu mereka berbangga-bangga dalam menghias dan membina bangunan yang megah. Akhirnya Nabi صلى الله عليه وسلم memberitahu bahawa lelaki yang bertanya itu ialah Malaikat Jibril عليه السلام yang datang untuk mengajar para sahabat رضي الله عنهم tentang agama Islam yang suci ini.
- Akhlak Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang mulia, baginda duduk bersama para sahabat رضي الله عنهم dan mereka juga duduk berhampiran dengan baginda.
- Pensyariatan untuk berlemah-lembut terhadap orang yang bertanya dan mendekatinya, supaya dia dapat bertanya dengan tenang tanpa rasa segan atau takut.
- Adab bersama guru, sebagaimana yang dilakukan oleh Jibril عليه السلام ketika duduk di hadapan Nabi صلى الله عليه وسلم dengan penuh sopan untuk mengambil ilmu daripadanya.
- Rukun Islam ada lima, dan asas iman ada enam.
- Apabila Islam dan iman disebut secara bersama, maka Islam ditafsirkan dengan perkara-perkara zahir, manakala iman ditafsirkan dengan perkara-perkara batin.
- Penjelasan bahawa agama ini memiliki beberapa darjat: Darjat pertama ialah Islam, kedua ialah iman, dan ketiga ialah ihsan, yang merupakan darjat tertinggi.
- Asal bagi orang yang bertanya adalah tidak mengetahui, dan kejahilanlah yang mendorong seseorang untuk bertanya. Oleh itu, para sahabat رضي الله عنهم berasa hairan dengan soalan lelaki tersebut dan kemudian dia sendiri membenarkannya.
- Memulakan dengan perkara yang paling utama, kemudian diikuti dengan yang seterusnya kerana penjelasan tentang Islam dimulai dengan dua kalimah syahadah, manakala penjelasan tentang iman dimulai dengan keimanan kepada Allah.
- Orang yang berilmu boleh ditanya tentang perkara yang penyoal sendiri sudah tahu, dengan tujuan agar orang lain dapat mempelajarinya.
- Pengetahuan tentang waktu berlakunya kiamat adalah perkara yang hanya Allah sahaja mengetahuinya.
صحيح مسلم (1/ 36) (8). التحفة الربانية في شرح الأربعين حديثا النووية (ص7). شرح الأربعين النووية، لابن عثيمين (ص19). فتح القوي المتين في شرح الأربعين وتتمة الخمسين، للعباد (ص15). الأحاديث الأربعون النووية وعليها الشرح الموجز المفيد، لعبد الله المحسن (ص7). تاج العروس من جواهر القاموس، للزبيدي (2/ 460).