Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: «Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu baik dan hanya menerima yang baik sahaja. Sesungguhnya Allah memerintahkan orang-orang mukmin sebagaimana Dia memerintahkan para rasul-Nya. Allah berfirman: {Wahai para rasul! Makanlah daripada yang baik-baik dan lakukanlah amal kebajikan. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan} [Al-Mu’minun: 51] dan berfirman: {Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada makanan yang baik yang telah Kami rezekikan untuk kamu} [Al-Baqarah: 172].
Kemudian Nabi menyebut tentang seorang lelaki yang menempuh perjalanan jauh, kusut dan berdebu, mengangkat tangannya ke langit sambil berkata: “Ya Tuhanku, Ya Tuhanku,” sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dia dibesarkan dengan yang haram. Maka bagaimana doanya itu akan diterima?»
رواه مسلمDarjatصحيح
Huraian
Nabi ﷺ memberitahu bahawa Allah itu Maha Suci, terpelihara daripada segala kekurangan dan cacat, serta bersifat dengan segala kesempurnaan. Allah hanya menerima amalan, perkataan dan kepercayaan yang benar, iaitu yang ikhlas kerana-Nya dan selaras dengan petunjuk Nabi ﷺ. Tidak sepatutnya seseorang mendekatkan diri kepada Allah kecuali dengan amalan yang demikian.
Salah satu cara paling utama untuk memperoleh kesucian amalan bagi seorang mukmin ialah memastikan makanannya adalah halal dan baik. Dengan itu, amalannya menjadi bersih dan diterima. Oleh itu, Allah memerintahkan orang-orang mukmin sebagaimana Dia memerintahkan para rasul, iaitu memakan yang halal dan mengerjakan amal soleh. Allah berfirman:
{Wahai para rasul! Makanlah daripada yang baik-baik dan lakukanlah amal kebajikan. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan} dan berfirman: {Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada makanan yang baik yang Kami telah rezekikan untuk kamu}
Kemudian Nabi ﷺ memberi peringatan tentang larangan memakan yang haram, kerana ia merosakkan amal dan menghalang penerimaan amal tersebut walaupun pelbagai usaha bagi penerimaan telah dilakukan. Antaranya ialah:
Pertama: Menempuh perjalanan jauh dalam menjalankan ibadah seperti haji, jihad, menyambung silaturahim dan lain-lain.
Kedua: Rambutnya kusut kerana tidak disikat dan warna rambut serta pakaiannya berubah kerana debu, menunjukkan keadaannya yang terdesak.
Ketiga: Dia mengangkat kedua-dua tangannya ke langit ketika berdoa.
Keempat: Dia memohon pertolongan kepada Allah dengan menyebut nama-Nya dan berulang-ulang dengan penuh pengharapan: “Ya Rabb, Ya Rabb!”
Walaupun dia melakukan semua amalan itu untuk dikabulkan doanya, ia tidak akan dikabulkan. Hal ini kerana makanannya, minumannya dan pakaiannya adalah daripada yang haram, dan dia diberi makan dengan yang haram. Maka jauh sekali untuk doanya diterima, bagaimana mungkin ia dikabulkan?
Faedah
Kesempurnaan Allah ﷻ pada zat-Nya, sifat-sifat-Nya, perbuatan-Nya, dan ketetapan-Nya.
Perintah untuk mengikhlaskan amal hanya kepada Allah ﷻ serta mengikuti sunnah Nabi ﷺ.
Penggunaan perkara yang mendorong kepada amal soleh, kerana Nabi ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang diperintahkan kepada para rasul.” Apabila seorang mukmin mengetahui bahawa ini termasuk perintah para rasul, ia akan mendapat semangat dan dorongan untuk mencontohinya.
Antara penghalang terkabulnya doa ialah memakan yang haram.
Antara sebab-sebab doa dimakbulkan ada lima perkara: Pertama: Memanjangkan perjalanan kerana padanya terdapat rasa kehinaan yang merupakan antara sebab terbesar untuk dimakbulkan doa. Kedua: Keadaan terdesak. Ketiga: Mengangkat kedua-dua tangan ke langit. Keempat: Merintih kepada Allah dengan mengulang-ulang penyebutan Rububiyyah-Nya, dan ini antara perkara paling agung untuk memohon dimakbulkan doa. Kelima: Memastikan makanan dan minuman yang baik.
Memakan makanan yang halal dan baik merupakan salah satu sebab yang menyokong dan memperkuat amal soleh.
Al-Qadhi berkata: “Al-Ṭayyib” (baik) adalah lawan kepada al-Khabīth (buruk). Apabila Allah menggunakannya untuk diri-Nya, maksudnya Dia suci daripada segala kekurangan dan terpelihara daripada segala kecelaan. Apabila digunakan untuk seorang hamba secara mutlak, maksudnya dia terbebas daripada akhlak tercela dan perbuatan buruk, serta berhias dengan sebaliknya. Apabila digunakan untuk harta, maksudnya ia halal dan termasuk harta terbaik.
Rujukan
صحيح مسلم (2/ 703) (1015).
التحفة الربانية في شرح الأربعين حديثًا النووية، لإسماعيل الأنصاري (ص27).
شرح الأربعين النووية، لابن عثيمين (ص141).
الأحاديث الأربعين النووية مع ما زاد عليها ابن رجب وعليها الشرح الموجز المفيد (ص22).
Daripada Ibn ʿAbbās رضي الله عنهما: Daripada Nabi ﷺ dalam hadis yang diriwayatkannya daripada Tuhannya عز وجل berfirman: Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Sesiapa yang berazam untuk melakukan satu kebaikan tetapi tidak melakukannya maka Allah mencatat untuknya di sisi-Nya satu kebaikan yang sempurna. Jika dia berazam serta melakukannya maka Allah mencatat baginya di sisi-Nya 10 kebaikan hingga 700 kali ganda, bahkan berlipat kali ganda yang lebih banyak.
Dan sesiapa yang berazam untuk melakukan satu kejahatan tetapi tidak melakukannya maka Allah mencatat buatnya di sisi-Nya satu kebaikan yang sempurna.
Namun jika dia berazam serta melakukannya maka Allah akan menulis baginya satu kejahatan sahaja."
متفق عليهDarjatصحيح
Huraian
Rasulullah ﷺ menerangkan bahawa Allah telah menetapkan pahala bagi kebaikan dan dosa bagi kejahatan, kemudian Dia menjelaskan kepada dua malaikat cara mencatat amalan tersebut:
Sesiapa yang berkehendak, berniat dan berazam untuk melakukan satu kebaikan maka ditulis baginya satu kebaikan penuh walaupun dia tidak melakukannya. Jika dia benar-benar melakukannya maka pahalanya digandakan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda, bahkan berlipat kali ganda mengikut kadar keikhlasan hati dan sejauh mana manfaat amalan itu tersebar.
Sesiapa yang berkehendak, berniat dan berazam untuk melakukan satu kejahatan, lalu dia meninggalkannya kerana Allah maka ditulis baginya satu kebaikan.
Jika dia meninggalkannya hanya kerana sibuk atau lalai tanpa berusaha melakukannya maka tidak ditulis apa-apa baginya.
Jika dia meninggalkannya kerana tidak mampu melaksanakannya maka ditulis dosa niatnya.
Sekiranya dia benar-benar melakukannya, maka ditulis baginya satu dosa sahaja.
Faedah
Penjelasan tentang sifat pemurah Allah yang Maha Agung terhadap umat ini dengan melipatgandakan pahala kebaikan dan mencatatnya di sisi Allah, serta tidak melipatgandakan dosa-dosa.
Kepentingan niat dalam amalan dan kesannya.
Kelebihan, kelembutan dan kebaikan Allah عزَّ وجلَّ buat sesiapa yang berniat melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, Allah tetap menulisnya sebagai satu kebaikan.
Rujukan
صحيح البخاري (8/ 103) (6491).
صحيح مسلم (1/ 118) (131).
التحفة الربانية في شرح الأربعين حديثًا النووية (ص85).
شرح الأربعين النووية، لابن عثيمين (ص368).
فتح القوي المتين في شرح الأربعين وتتمة الخمسين، للعباد (ص125).
فتح الباري، لابن حجر (11/ 324).
Daripada Abu Zar رضي الله عنه: Daripada Nabi صلى الله عليه وسلم menceritakan daripada Allah تبارك وتعالى bahawa Dia berfirman: “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas Diri-Ku, dan menjadikannya haram antara kamu semua, maka janganlah kamu menzalimi antara satu sama lain.
Wahai hamba-hamba-Ku! Kesemua kamu dalam keadaan sesat kecuali orang yang Aku berikan hidayah kepadanya, maka mintalah petunjuk daripada-Ku, nescaya Aku tunjukkan kepadamu.
Wahai hamba-hamba-Ku! Kesemua kamu dalam keadaan lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka mintalah makanan daripada-Ku, nescaya Aku beri kamu makan.
Wahai hamba-hamba-Ku! Kesemua kamu dalam keadaan telanjang kecuali orang yang Aku beri pakaian, maka mintalah pakaian daripada-Ku, nescaya Aku mengurniakan pakaian kepadamu.
Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya kamu melakukan kesalahan pada siang dan malam, dan Aku mengampuni segala dosa, maka mohonlah ampun daripada-Ku, nescaya Aku ampunkan dosa-dosamu.
Wahai hamba-hamba-Ku! Kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Ku yang boleh memudaratkan Aku dan kamu tidak akan boleh memberi manfaat kepada-Ku yang Aku boleh mendapat manfaat tersebut.
Wahai hamba-hamba-Ku! Sekiranya seluruh kamu daripada permulaan hingga penghujung, manusia dan jin, memiliki sebaik-baik hati maka ia tidak akan menambah apa-apa pun pada kerajaan-Ku.
Wahai hamba-hamba-Ku! Sekiranya seluruh kamu dari permulaan hingga penghujung, manusia dan jin, memiliki sejahat-jahat hati maka ia tidak akan mengurangkan apa-apa pun daripada kerajaan-Ku.
Wahai hamba-hamba-Ku! Sekiranya seluruh kamu, manusia dan jin, berkumpul di satu tempat dan meminta daripada-Ku, lalu Aku memberi setiap seorang apa yang dimintanya, tidak akan berkurang sedikit pun daripada milik-Ku, kecuali seperti jarum yang dimasukkan ke dalam laut.
Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya ia hanyalah amalan-amalanmu yang akan Aku hitung, kemudian Aku akan membalasnya kepadamu. Sesiapa yang mendapat kebaikan, hendaklah dia memuji Allah, dan sesiapa yang mendapat selain itu, janganlah dia menyalahkan selain dirinya sendiri.”
رواه مسلمDarjatصحيح
Huraian
Nabi صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa Allah سبحانه وتعالى berfirman bahawa Dia telah mengharamkan kezaliman ke atas Diri-Nya sendiri, dan menjadikannya haram di antara makhluk-Nya, maka tiada seorang pun boleh menzalimi yang lain. Seluruh makhluk berada dalam keadaan sesat daripada jalan yang benar kecuali dengan hidayah dan petunjuk Allah, dan sesiapa yang meminta petunjuk-Nya, Allah akan memberi kefahaman agama dan hidayah kepadanya. Semua makhluk dalam keadaan fakir dan memerlukan Allah dalam semua keperluan mereka. Sesiapa yang memohon kepada Allah maka Dia akan memenuhi hajatnya dan mencukupkannya. Manusia melakukan dosa pada siang dan malam, dan Allah سبحانه وتعالى menutup aib serta mengampuni dosa-dosa mereka apabila mereka memohon ampun kepada-Nya. Mereka tidak mampu memberi mudarat atau manfaat kepada Allah dengan apa jua cara sekalipun. Sekiranya seluruh manusia dan jin memiliki hati paling takwa sekalipun, tidak akan menambah apa-apa pada kerajaan Allah. Dan sekiranya mereka memiliki hati paling jahat sekalipun, tidak akan mengurangkan sedikit pun daripada kekuasaan-Nya; kerana mereka lemah dan memerlukan Allah, sentiasa memerlukan-Nya dalam setiap keadaan, masa dan tempat, sedangkan Dia Maha Kaya سبحانه. Sekiranya seluruh manusia dan jin, dari yang pertama hingga yang terakhir, berkumpul di satu tempat dan memohon kepada Allah, lalu Allah memenuhi permintaan masing-masing, maka hal itu tidak mengurangkan sedikit pun apa yang ada pada-Nya — ibarat jarum yang dimasukkan ke dalam laut, apabila dikeluarkan tidak mengurangkan laut sedikit pun — ini menunjukkan kesempurnaan kekayaan-Nya سبحانه.
Dan bahawa Allah سبحانه mencatat setiap amal hamba-Nya dan menghitungnya, kemudian membalas mereka dengan sempurna pada hari kiamat. Maka sesiapa yang mendapati balasan amalnya adalah kebaikan, hendaklah dia memuji Allah atas petunjuk dan taufik-Nya dalam ketaatan. Sesiapa yang mendapati balasan amalnya sebaliknya, maka tidak boleh menyalahkan sesiapa selain dirinya sendiri, iaitu nafsu amarah yang menuntunnya ke arah kerugian.
Faedah
Hadis ini termasuk antara hadis yang diriwayatkan oleh Nabi ﷺ daripada Allah, dan disebut sebagai hadis qudsi atau ilahi. Lafaznya daripada Nabi ﷺ, tetapi maknanya daripada Allah. Ia berbeza dengan al-Quran kerana tidak memiliki sifat-sifat al-Quran seperti dianggap sebagai ibadah dengan membacanya, kesucian, (terkandung ayat-ayat yang bersifat) mencabar, bersifat mukjizat dan lain-lain lagi.
Segala yang diperoleh hamba berbentuk ilmu atau petunjuk adalah hasil hidayah dan pengajaran Allah.
Segala kebaikan yang diterima oleh hamba adalah daripada kebaikan Allah, manakala segala keburukan yang menimpanya berpunca daripada dirinya sendiri dan hawa nafsunya.
Sesiapa yang berbuat baik maka ia kerana taufik Allah dan balasannya adalah kelebihan daripada Allah. Bagi-Nya segala pujian. Sesiapa yang berbuat buruk maka tidak boleh menyalahkan sesiapa selain dirinya sendiri.
Rujukan
صحيح مسلم (4/ 1994) (2577).
التحفة الربانية في شرح الأربعين حديثًا النووية (ص52).
شرح الأربعين النووية، لابن عثيمين (ص235).
فتح القوي المتين في شرح الأربعين وتتمة الخمسين، للعباد (ص82).
الأحاديث الأربعون النووية وعليها الشرح الموجز المفيد، لعبد الله المحسن (ص46).
Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه, beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
“Allah, Yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi, berfirman:
“Wahai anak Adam, selama engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku maka Aku akan mengampuni segala yang telah terjadi padamu, dan Aku tidak peduli.
Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu mencapai langit kemudian engkau memohon keampunan kepada-Ku maka Aku pasti mengampunkanmu dan Aku tidak peduli.
Wahai anak Adam, sekiranya engkau datang kepada-Ku membawa kesalahan sebanyak bekas bumi, kemudian engkau menemui-Ku tanpa mempersekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan sebanyak itu.”
رواه الترمذيDarjatحسن
Huraian
Rasulullah صلى الله عليه وسلم memberitahu bahawa Allah Ta‘ala berfirman dalam hadis Qudsi: “Wahai anak Adam, selagi engkau memohon kepada-Ku dan mengharapkan rahmat-Ku serta tidak berputus asa maka Aku menutupi dosa-dosamu dan menghapusnya tanpa mempedulikannya; walaupun dosa dan maksiat itu termasuk dosa-dosa besar.” Wahai anak Adam, sekiranya dosamu bertimbun hingga memenuhi di antara langit dan bumi sehingga menutupi segala penjuru dan meliputi seluruh sudutnya, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku hapus dan mengampunkan segala dosamu itu tanpa mempedulikan banyaknya dosa itu.
Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepada-Ku selepas mati dengan membawa dosa dan maksiat sebanyak isi bumi, dan engkau mati dalam keadaan tauhid tanpa mempersekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku akan menerima dosa dan maksiat itu sebanyak isi bumi sebagai pengampunan kerana sesungguhnya Aku Maha Luas dalam memberi ampunan, dan Aku mengampuni semua dosa kecuali syirik.
Faedah
Luasnya rahmat, pengampunan dan pemberian Allah Ta‘ala.
Keutamaan bertauhid dan bahawa Allah mengampuni dosa-dosa dan maksiat golongan yang mengesakan-Nya.
Bahaya syirik, dan bahawa Allah tidak mengampuni orang yang mempersekutukan-Nya.
Ibn Rajab berkata: “Hadis ini merangkumi tiga sebab yang membawa kepada pengampunan dosa: Pertama: Doa disertai harapan. Kedua: Memohon ampun dan taubat. Ketiga: Mati dalam keadaan bertauhid.”
Hadis ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم daripada Tuhannya, dan dikenali sebagai hadis Qudsi atau Ilahi. Lafaz dan maknanya datang daripada Allah, namun ia tidak memiliki sifat-sifat khusus al-Quran yang membezakannya daripada selainnya, sepertimembacanya dianggap sebagai ibadah, memerlukan kesucian, bersifat mencabar dan mempunyai keajaiban serta lain-lain.
Dosa dibahagikan kepada tiga jenis: Pertama: Syirik kepada Allah dan ini tidak akan diampuni oleh Allah. Allah Ta‘ala berfirman: {Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka Allah mengharamkan syurga baginya}. Kedua: Menzalimi diri sendiri dalam perkara antara dirinya dengan Tuhannya melalui dosa dan maksiat. Allah Ta‘ala mengampuni dan mengabaikannya jika Dia menghendaki. Ketiga: Dosa yang Allah tidak biarkan dengan tanpa sebarang hukuman, iaitu menzalimi sesama manusia; (bagi dosa ini) hukuman pembalasan (qisas) mesti dilakukan.
Rujukan
سنن الترمذي (5/ 509) (3540).
التحفة الربانية في شرح الأربعين حديثًا النووية، لإسماعيل الأنصاري (ص93).
شرح الأربعين النووية، لابن عثيمين (ص397).
Daripada Abu Hurayrah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
“Sesungguhnya Allah berfirman: “Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku isytiharkan perang terhadapnya. Dan tidaklah hamba-Ku dapat mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu pun yang lebih Aku cintai daripada apa yang telah Aku fardukan ke atasnya. Hamba-Ku terus mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya, Aku menjadi pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang dia gunakan untuk melakukan sesuatu dan kakinya yang digunakan untuk berjalan. Jika dia memohon kepada-Ku, pasti Aku berikan. Jika dia memohon perlindungan kepada-Ku, pasti Aku melindunginya. Dan Aku tidak ragu-ragu dalam sesuatu yang Aku lakukan sebagaimana keraguan-Ku untuk mencabut nyawa orang mukmin. Dia takutkan kematian, dan Aku sendiri bimbang dia merasakan keperitan sakitnya.’”
رواه البخاريDarjatصحيح
Huraian
Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengkhabarkan dalam hadis Qudsi bahawa Allah 'Azza Wajalla berfirman: Sesiapa yang memusuhi dan menzalimi salah seorang wali-Ku serta menimbulkan kemarahannya, maka Aku telah memberitahunya dan mengumumkan permusuhan-Ku kepadanya.
Wali (yang dimaksudkan) ialah orang mukmin yang bertaqwa, sebagaimana bertambahnya iman dan takwa seseorang hamba, maka sebegitulah pula kadar kedudukan kewalian di sisi Allah. Tidaklah seorang Muslim mendekatkan diri kepada Tuhannya dengan suatu amalan yang lebih disukai Allah berbanding amalan yang difardukan dan diwajibkan oleh-Nya, berupa melaksanakan ketaatan dan meninggalkan larangan. Orang Muslim itu terus-menerus mendekatkan diri kepada Allah dengan amalan-amalan sunat di samping amalan-amalan wajib, sehingga dia memperoleh kasih sayang Allah. Maka apabila Allah mencintainya, Allah akan membimbingnya melalui empat anggota badan ini:
Allah akan membimbingnya dalam pendengarannya, maka dia hanya mendengar apa yang diredai Allah.
Allah membimbingnya dalam penglihatannya, maka dia hanya memandang apa yang disukai dan diredai Allah.
Allah membimbingnya dalam perbuatan tangannya, maka dia hanya beramal dengan tangannya untuk perkara yang diredai Allah.
Allah membimbingnya dalam perjalanan kakinya, maka dia hanya berjalan menuju perkara yang diredai Allah dan hanya berusaha melangkah ke arah perkara yang mempunyai kebaikan.
Di samping itu, jika dia memohon sesuatu kepada Allah, nescaya Allah akan mengurniakan apa yang dimintanya, lalu doanya diterima. Jika dia memohon perlindungan kepada Allah dan (jika dia) pergi kepada-nya untuk meminta keselamatan, nescaya Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menjaganya dan melindunginya daripada apa yang ditakutinya.
Kemudian Allah Ta‘ala berfirman: “Dan apa-apa yang Aku lakukan, tidaklah Aku ragui seperti keraguan-Ku dalam mencabut nyawa seorang mukmin sebagai belas kasihan kepadanya; kerana dia membenci kematian disebabkan kesakitan yang terkandung di dalamnya, dan Allah membenci segala yang menyakiti hamba-Nya yang beriman.”
Faedah
Hadis ini merupakan antara hadis yang diriwayatkan oleh Nabi ﷺ daripada Tuhannya, dan dikenali sebagai hadith Qudsi atau ilahi. Lafaz dan maknanya datang daripada Allah, namun dia tidak memiliki ciri-ciri khusus al-Quran yang membezakannya daripada yang lain, seperti dianggap sebagai ibadah dengan membacanya, bersuci kerananya (membacanya), bersifat mukjizat dan cabaran, serta keistimewaan lain.
Larangan daripada menyakiti para wali Allah dan galakan untuk mencintai mereka serta mengakui kelebihan mereka.
Perintah supaya memusuhi musuh Allah dan pengharaman bersekutu dengan mereka.
Sesiapa yang mendakwa sebagai wali Allah dengan tanpa mengikuti syariat-Nya maka dia berdusta dalam dakwaannya.
Kewalian boleh dicapai melalui pelaksanaan kewajipan dan meninggalkan yang haram.
Salah satu sebab Allah mencintai hamba-Nya dan mengabulkan doanya ialah dengan melaksanakan amalan sunat selepas menunaikan kewajipan dan meninggalkan perkara yang diharamkan.
Petunjuk kemuliaan para wali Allah dan tingginya darjat mereka.
Rujukan
صحيح البخاري (8/ 105) (6502).
الإفصاح عن معاني الصحاح، ليحيى بن هبيرة (7/ 302).
جامع العلوم والحكم في شرح خمسين حديثا من جوامع الكلم، لابن رجب (2/ 330).
عمدة القاري شرح صحيح البخاري، لمحمود بدر الدين العينى (23/ 88).
مرقاة المفاتيح شرح مشكاة المصابيح، لعلي بن سلطان القاري (4/ 1544).
تاج العروس من جواهر القاموس، للزبيدي (17/ 81).
شرح رياض الصالحين، لابن عثيمين (2/ 59).
مجموع فتاوى ومقالات متنوعة، لابن باز(8/ 277).
Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: «Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seorang mukmin akan kebaikannya; dia diberi ganjaran kerananya di dunia dan dibalas di akhirat. Adapun orang kafir, maka dia diberi ganjaran dengan kebaikan-kebaikan yang dilakukannya di dunia, sehinggalah apabila dia tiba di akhirat, tidak ada lagi baginya satu kebaikan pun yang akan dibalas».
رواه مسلمDarjatصحيح
Huraian
Nabi ﷺ menjelaskan kurniaan Allah yang agung ke atas orang-orang mukmin, dan keadilan-Nya terhadap orang-orang kafir. Adapun bagi seorang mukmin, ganjaran kebaikan yang dilakukannya tidak akan dikurangkan. Sebaliknya, dia diberikan kebaikan di dunia sebagai balasan atas ketaatannya, di samping ganjaran yang disimpan untuknya di akhirat. Adakalanya pula, keseluruhan ganjaran itu disimpan sepenuhnya untuknya di akhirat. Adapun bagi orang kafir, Allah akan membalas kebaikan yang dilakukannya dengan ganjaran di dunia, sehinggalah apabila dia kembali ke akhirat, tiada lagi sebarang pahala untuknya yang akan dibalas; kerana amalan soleh yang bermanfaat di dunia dan akhirat mestilah pelakunya seorang mukmin.
Faedah
Sesiapa yang mati dalam keadaan kufur, maka amalannya tidak akan bermanfaat baginya.
Rujukan
صحيح مسلم (4/ 2162) (2808)، المفهم لما أشكل من تلخيص كتاب مسلم (1/ 460)، البحر المحيط الثجاج في شرح صحيح الإمام مسلم بن الحجاج (43/ 460)، شرح النووي على مسلم (17/150).
Daripada Qatadah (rahimahullah) berkata: Anas bin Malik رَضِيَ اللهُ عَنْهُ menyampaikan kepada kami bahawa seorang lelaki bertanya: "Wahai Nabi Allah, bagaimana orang kafir akan dihimpunkan di atas mukanya?" Baginda bersabda: "Bukankah Tuhan yang telah menjalankannya di atas kedua-dua kakinya di dunia mampu untuk menjalankannya di atas mukanya pada hari kiamat?" Qatadah berkata: "Tentu sekali, demi kemuliaan Tuhan kami."
متفق عليهDarjatصحيح
Huraian
Rasulullah ﷺ pernah ditanya: “Bagaimana orang kafir akan dihimpunkan di atas mukanya pada hari kiamat?!” Lalu baginda bersabda: “Bukankah Allah yang telah menjadikannya berjalan di atas kedua-dua kakinya di dunia, berkuasa untuk menjadikannya berjalan di atas mukanya pada hari kiamat?! Maka Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
Faedah
Kehinaan orang kafir pada hari kiamat dan bahawa dia akan berjalan mengheret mukanya.
Rujukan
صحيح البخاري (8/ 109) (6523)، صحيح مسلم (4/ 2161) (2806)، الإفصاح عن معاني الصحاح (5/200)، فتح الباري (11/382)، عمدة القاري شرح صحيح البخاري (23/ 105)، البحر المحيط الثجاج في شرح صحيح الإمام مسلم بن الحجاج (43/ 454).
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: «Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu baik dan hanya menerima yang baik sahaja. Sesungguhnya Allah memerintahkan orang-orang mukmin sebagaimana Dia memerintahkan para rasul-Nya. Allah berfirman: {Wahai para rasul! Makanlah daripada yang baik-baik dan kerjakanlah amal kebajikan, sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan} [Al-Mu’minun: 51] dan berfirman: {Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada makanan yang baik yang telah Kami rezekikan untuk kamu} [Al-Baqarah: 172].
Kemudian Nabi menyebut tentang seorang lelaki yang menempuh perjalanan jauh, kusut dan berdebu, mengangkat tangannya ke langit sambil berkata: “Ya Tuhanku, Ya Tuhanku,” sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dia dibesarkan dengan yang haram. Maka bagaimana doanya itu akan diterima?»
رواه مسلمDarjatصحيح
Huraian
Nabi ﷺ memberitahu bahawa Allah itu Maha Suci, terpelihara daripada segala kekurangan dan cacat, serta bersifat dengan segala kesempurnaan. Allah hanya menerima amalan, perkataan dan kepercayaan yang benar, iaitu yang ikhlas kerana-Nya dan selaras dengan petunjuk Nabi ﷺ. Tidak sepatutnya seseorang mendekatkan diri kepada Allah kecuali dengan amalan yang demikian.
Salah satu cara paling utama untuk memperoleh kesucian amalan bagi seorang mukmin ialah memastikan makanannya adalah halal dan baik. Dengan itu, amalannya menjadi bersih dan diterima. Oleh itu, Allah memerintahkan orang-orang mukmin sebagaimana Dia memerintahkan para rasul, iaitu memakan yang halal dan mengerjakan amal soleh. Allah berfirman:
{Wahai para rasul! Makanlah daripada yang baik-baik dan lakukanlah amal kebajikan. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan} dan berfirman: {Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada makanan yang baik yang Kami telah rezekikan untuk kamu}
Kemudian Nabi ﷺ memberi peringatan tentang larangan memakan yang haram, kerana ia merosakkan amal dan menghalang penerimaan amal tersebut walaupun pelbagai usaha bagi penerimaan telah dilakukan. Antaranya ialah:
Pertama: Menempuh perjalanan jauh dalam menjalankan ibadah seperti haji, jihad, menyambung silaturahim dan lain-lain.
Kedua: Rambutnya kusut kerana tidak disikat dan warna rambut serta pakaiannya berubah kerana debu, menunjukkan keadaannya yang terdesak.
Ketiga: Dia mengangkat kedua-dua tangannya ke langit ketika berdoa.
Keempat: Dia memohon pertolongan kepada Allah dengan menyebut nama-Nya dan berulang-ulang dengan penuh pengharapan: “Ya Rabb, Ya Rabb!”
Walaupun dia melakukan semua amalan itu untuk dikabulkan doanya, ia tidak akan dikabulkan. Hal ini kerana makanannya, minumannya dan pakaiannya adalah daripada yang haram, dan dia diberi makan dengan yang haram. Maka jauh sekali untuk doanya diterima, bagaimana mungkin ia dikabulkan?
Faedah
Kesempurnaan Allah ﷻ pada zat-Nya, sifat-sifat-Nya, perbuatan-Nya, dan ketetapan-Nya.
Perintah untuk mengikhlaskan amal hanya kepada Allah ﷻ serta mengikuti sunnah Nabi ﷺ.
Penggunaan perkara yang mendorong kepada amal soleh, kerana Nabi ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang diperintahkan kepada para rasul.” Apabila seorang mukmin mengetahui bahawa ini termasuk perintah para rasul, ia akan mendapat semangat dan dorongan untuk mencontohinya.
Antara penghalang terkabulnya doa ialah memakan yang haram.
Antara sebab-sebab doa dimakbulkan ada lima perkara: Pertama: Memanjangkan perjalanan kerana padanya terdapat rasa kehinaan yang merupakan antara sebab terbesar untuk dimakbulkan doa. Kedua: Keadaan terdesak. Ketiga: Mengangkat kedua-dua tangan ke langit. Keempat: Merintih kepada Allah dengan mengulang-ulang penyebutan Rububiyyah-Nya, dan ini antara perkara paling agung untuk memohon dimakbulkan doa. Kelima: Memastikan makanan dan minuman yang baik.
Memakan makanan yang halal dan baik merupakan salah satu sebab yang menyokong dan memperkuat amal soleh.
Qadhi berkata: “‘Baik’ adalah lawan kepada ‘buruk’. Apabila Allah Ta’ala menyifatkan diri-Nya dengan sifat ini, maksudnya Dia terpelihara daripada segala kekurangan dan disucikan daripada segala keburukan. Apabila sifat ini diberikan kepada hamba secara mutlak, maksudnya hamba itu terpelihara daripada akhlak tercela dan perbuatan keji, serta berhias dengan sifat-sifat sebaliknya. Apabila sifat ini disandarkan kepada harta, maksudnya harta itu halal dan termasuk harta yang baik (kualiti dan manfaatnya).”
Rujukan
صحيح مسلم (2/ 703) (1015).
التحفة الربانية في شرح الأربعين حديثًا النووية، لإسماعيل الأنصاري (ص27).
شرح الأربعين النووية، لابن عثيمين (ص141).
الأحاديث الأربعين النووية مع ما زاد عليها ابن رجب وعليها الشرح الموجز المفيد (ص22).
Setiap hadis, darjat, huraian dan faedah di sini dipaparkan tepat seperti yang diterbitkan oleh HadeethEnc.com, mengikut syarat penerbitan semulanya. Darjat itu tidak menamakan siapa yang menilainya. Terjemahan dan huraian adalah milik pengarangnya sendiri, dan sebahagiannya menyatakan hukum; penyemak Sabīl belum menelitinya. Hadis berbahasa Arablah teksnya. Sumber: HadeethEnc.com