Nabi ﷺ mengkhabarkan tentang kedudukan baginda di sisi Allah Ta‘ala, dan bahawa ia telah mencapai darjat kecintaan yang tertinggi, sebagaimana yang telah dicapai oleh Nabi Ibrahim AS. Oleh sebab itu, baginda menafikan mempunyai seorang kekasih selain Allah; kerana hati baginda dipenuhi dengan kecintaan, pengagungan dan makrifah kepada Allah Ta‘ala, sehingga tiada lagi ruang di dalamnya untuk sesiapa pun selain Allah. Sekiranya baginda mempunyai seorang khalil daripada kalangan makhluk, pastinya ia adalah Abu Bakar al-Siddiq RA. Kemudian baginda memberi amaran agar tidak melampaui batas dalam kecintaan, seperti yang dilakukan oleh Yahudi dan Nasrani terhadap kubur para nabi dan orang-orang soleh mereka, sehingga mereka menjadikannya sebagai tuhan-tuhan syirik yang disembah selain Allah, serta mendirikan masjid dan tempat-tempat ibadat di atas kubur mereka. Baginda ﷺ telah melarang umatnya daripada melakukan perbuatan seperti mereka.
- Keutamaan Abu Bakar al-Siddiq RA, dan bahawa beliau adalah Sahabat yang paling afdal dan manusia yang paling layak menjadi khalifah Rasulullah ﷺ selepas kewafatan baginda.
- Membina masjid di atas perkuburan merupakan salah satu kemungkaran umat-umat terdahulu.
- Larangan untuk menjadikan kubur sebagai tempat-tempat ibadah di mana solat didirikan di sisinya atau menghadap ke arahnya, dan dibina di atasnya masjid atau kubah, sebagai peringatan agar tidak terjerumus ke dalam syirik disebabkan perbuatan tersebut.
- Peringatan berkenaan sikap ghuluw (melampau) terhadap orang-orang soleh kerana ia membawa kepada syirik.
- Seriusnya peringatan Nabi ﷺ, kerana baginda telah menekankannya lima malam sebelum kewafatan baginda.
صحيح مسلم (1/ 377) (532). شرح النووي على مسلم (5/ 13). الجديد في شرح كتاب التوحيد، لمحمد القرعاوي (ص188). الملخص في شرح كتاب التوحيد، لصالح الفوزان (ص172).