Langkau ke kandungan
Hadis dengan huraian

Repentance

2 hadis

“Wahai anak Adam, selama engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku maka Aku akan mengampuni segala yang telah terjadi padamu, dan Aku tidak peduli

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلاَ أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ، وَلاَ أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لاَ تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً».
Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه, beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Allah, Yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi, berfirman: “Wahai anak Adam, selama engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku maka Aku akan mengampuni segala yang telah terjadi padamu, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu mencapai langit kemudian engkau memohon keampunan kepada-Ku maka Aku pasti mengampunkanmu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, sekiranya engkau datang kepada-Ku membawa kesalahan sebanyak bekas bumi, kemudian engkau menemui-Ku tanpa mempersekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan sebanyak itu.”
رواه الترمذيDarjatحسن
Huraian

Rasulullah صلى الله عليه وسلم memberitahu bahawa Allah Ta‘ala berfirman dalam hadis Qudsi: “Wahai anak Adam, selagi engkau memohon kepada-Ku dan mengharapkan rahmat-Ku serta tidak berputus asa maka Aku menutupi dosa-dosamu dan menghapusnya tanpa mempedulikannya; walaupun dosa dan maksiat itu termasuk dosa-dosa besar.” Wahai anak Adam, sekiranya dosamu bertimbun hingga memenuhi di antara langit dan bumi sehingga menutupi segala penjuru dan meliputi seluruh sudutnya, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku hapus dan mengampunkan segala dosamu itu tanpa mempedulikan banyaknya dosa itu. Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepada-Ku selepas mati dengan membawa dosa dan maksiat sebanyak isi bumi, dan engkau mati dalam keadaan tauhid tanpa mempersekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku akan menerima dosa dan maksiat itu sebanyak isi bumi sebagai pengampunan kerana sesungguhnya Aku Maha Luas dalam memberi ampunan, dan Aku mengampuni semua dosa kecuali syirik.

Faedah
  1. Luasnya rahmat, pengampunan dan pemberian Allah Ta‘ala.
  2. Keutamaan bertauhid dan bahawa Allah mengampuni dosa-dosa dan maksiat golongan yang mengesakan-Nya.
  3. Bahaya syirik, dan bahawa Allah tidak mengampuni orang yang mempersekutukan-Nya.
  4. Ibn Rajab berkata: “Hadis ini merangkumi tiga sebab yang membawa kepada pengampunan dosa: Pertama: Doa disertai harapan. Kedua: Memohon ampun dan taubat. Ketiga: Mati dalam keadaan bertauhid.”
  5. Hadis ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم daripada Tuhannya, dan dikenali sebagai hadis Qudsi atau Ilahi. Lafaz dan maknanya datang daripada Allah, namun ia tidak memiliki sifat-sifat khusus al-Quran yang membezakannya daripada selainnya, sepertimembacanya dianggap sebagai ibadah, memerlukan kesucian, bersifat mencabar dan mempunyai keajaiban serta lain-lain.
  6. Dosa dibahagikan kepada tiga jenis: Pertama: Syirik kepada Allah dan ini tidak akan diampuni oleh Allah. Allah Ta‘ala berfirman: {Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka Allah mengharamkan syurga baginya}. Kedua: Menzalimi diri sendiri dalam perkara antara dirinya dengan Tuhannya melalui dosa dan maksiat. Allah Ta‘ala mengampuni dan mengabaikannya jika Dia menghendaki. Ketiga: Dosa yang Allah tidak biarkan dengan tanpa sebarang hukuman, iaitu menzalimi sesama manusia; (bagi dosa ini) hukuman pembalasan (qisas) mesti dilakukan.
Rujukan

سنن الترمذي (5/ 509) (3540). التحفة الربانية في شرح الأربعين حديثًا النووية، لإسماعيل الأنصاري (ص93). شرح الأربعين النووية، لابن عثيمين (ص397).

Hadis ini di HadeethEnc.com

“Jauhilah kotoran ini (zina) yang Allah larang daripadanya. Sesiapa yang terlanjur melakukannya maka hendaklah dia menutup dirinya dengan perlindungan Allah dan bertaubat kepada-Nya. Sesungguhnya sesiapa yang menzahirkan (dosanya) kepada kami, nescaya kami akan melaksanakan hukum Allah عز وجل ke atasnya.”

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رضي الله عنهما أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَامَ بَعْدَ أَنْ رَجَمَ الْأَسْلَمِيَّ فَقَالَ: «اجْتَنِبُوا ‌هَذِهِ ‌الْقَاذُورَةَ الَّتِي نَهَى اللَّهُ عَنْهَا فَمَنْ أَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسِتْرِ اللَّهِ وَلْيُتُبْ إِلَى اللَّهِ، فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لْنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللَّهِ عز وجل».
Daripada 'Abdullah bin ‘Umar رضي الله عنهما, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bangun setelah merejam lelaki daripada kabilah al-Aslami, lalu baginda bersabda: “Jauhilah kotoran ini (zina) yang Allah larang daripadanya. Sesiapa yang terlanjur melakukannya maka hendaklah dia menutup dirinya dengan perlindungan Allah dan bertaubat kepada-Nya. Sesungguhnya sesiapa yang menzahirkan (dosanya) kepada kami, nescaya kami akan melaksanakan hukum Allah عز وجل ke atasnya.”
رواه الحاكم والبيهقيDarjatصحيح
Huraian

Ibnu ‘Umar رضي الله عنهما memberitahu bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم berdiri setelah merejam Ma‘iz bin Malik al-Aslami رضي الله عنه dengan hukuman hudud zina, lalu baginda berkhutbah kepada orang ramai dan bersabda: Jauhilah kotoran ini (zina) dan segala perkara keji serta tercela berupa maksiat yang Allah larang daripadanya. Sesiapa yang terjerumus serta melakukan sebahagian daripadanya, maka wajib ke atasnya dua perkara: Pertama: Hendaklah dia menutup (aibnya) sebagaimana Allah telah menutupnya dan janganlah dia memberitahu tentang maksiatnya. Kedua: Hendaklah dia segera bertaubat kepada Allah dan tidak berterusan melakukannya. Sesiapa yang jelas kepada kami maksiatnya, maka kami akan menegakkan hukuman hudud yang telah disebut dalam Kitab Allah عز وجل bagi maksiat tersebut.

Faedah
  1. Galakan agar seorang hamba yang berdosa menutup (aib) dirinya sendiri dan bertaubat daripada dosa tersebut antara dirinya dengan Tuhannya.
  2. Apabila hukuman hudud telah sampai kepada pengetahuan pemerintah, maka wajib dilaksanakan hudud tersebut.
  3. Kewajipan menjauhi maksiat dan bertaubat daripadanya.
Rujukan

المستدرك على الصحيحين للحاكم (4/ 272) (7615). السنن الكبرى للبيهقي (8/ 572). منحة العلام في شرح بلوغ المرام، لعبد الله الفوزان (8/ 435). فتح ذي الجلال والاكرام بشرح بلوغ المرام، لابن عثيمين (5/ 370). توضِيحُ الأحكَامِ مِن بُلوُغ المَرَام، للبسام (6/ 249). شرح الزرقاني على موطأ الإمام مالك (4/ 235).

Hadis ini di HadeethEnc.com

Setiap hadis, darjat, huraian dan faedah di sini dipaparkan tepat seperti yang diterbitkan oleh HadeethEnc.com, mengikut syarat penerbitan semulanya. Darjat itu tidak menamakan siapa yang menilainya. Terjemahan dan huraian adalah milik pengarangnya sendiri, dan sebahagiannya menyatakan hukum; penyemak Sabīl belum menelitinya. Hadis berbahasa Arablah teksnya. Sumber: HadeethEnc.com