Nabi صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa setiap amalan dinilai berdasarkan niat. Hukum ini bersifat umum bagi semua amalan, sama ada ibadat mahupun muamalat. Sesiapa yang berniat melakukan sesuatu amalan hanya untuk memperoleh manfaat duniawi, maka dia hanya akan mendapat manfaat tersebut tanpa sebarang ganjaran pahala. Namun, sesiapa yang berniat untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala dengan amalannya, dia akan memperoleh ganjaran dan pahala walaupun amalannya hanyalah perkara biasa seperti makan dan minum. Kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم memberikan satu perumpamaan bagi menjelaskan kesan niat dalam amalan walaupun rupa lahiriah amal itu kelihatan sama. Baginda menerangkan bahawa sesiapa yang berniat berhijrah dan meninggalkan tanah airnya demi meraih keredaan Tuhannya, maka hijrahnya adalah hijrah yang sah menurut syarak, diterima dan diberi ganjaran pahala kerana keikhlasan niatnya. Namun, sesiapa yang berhijrah kerana mengejar manfaat duniawi seperti harta, kedudukan, perniagaan atau kerana wanita (yang ingin dikahwininya), maka dia hanya akan memperoleh manfaat duniawi yang diniatkannya itu dan tiada ganjaran pahala buatnya.
- Galakan supaya ikhlas, kerana Allah tidak menerima sesuatu amalan kecuali yang dilakukan dengan tujuan mencari keredaan-Nya.
- Amalan yang dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah عز وجل, jika dilakukan oleh seseorang hanya sekadar kebiasaan tanpa niat ibadah maka dia tidak akan mendapat pahala daripadanya, sehinggalah dia berniat melakukannya untuk mendekatkan diri kepada Allah.
صحيح البخاري (9/ 22) (6953)، (1/ 6) (1). صحيح مسلم (3/ 1515) (1907). التحفة الربانية في شرح الأربعين حديثًا النووية (ص5). شرح الأربعين النووية، لابن عثيمين (ص5). فتح القوي المتين في شرح الأربعين وتتمة الخمسين، للعباد (ص8). شرح النووي على مسلم (13/ 54). تاج العروس من جواهر القاموس، للزبيدي (7/ 196).