Nabi ﷺ menjelaskan bahawa Allah telah membuat satu perumpamaan bagi Islam seperti sebatang jalan yang lurus terbentang tanpa sebarang kebengkokan. Di kedua-dua belah sisi jalan ini, terdapat dua tembok yang mengelilinginya, iaitu had-had (batasan) Allah. Pada kedua-dua tembok ini terdapat pintu-pintu yang terbuka, iaitu perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah. Pada pintu-pintu tersebut, tergantung tirai-tirai yang menghalang orang yang lalu-lalang daripada melihat apa yang ada di dalamnya. Di permulaan jalan, terdapat seorang penyeru yang memberi petunjuk kepada manusia dengan berkata: "Teruskan perjalanan di atas jalan ini dan jangan menyimpang." Penyeru ini ialah Kitab Allah. Terdapat seorang lagi penyeru dari atas jalan itu. Setiap kali orang yang berjalan di atas jalan itu berniat untuk membuka sedikit tirai pada pintu-pintu tersebut, penyeru ini akan mengherdiknya dan berkata: "Celakalah kamu, jangan membukanya! Sesungguhnya jika kamu membukanya, nescaya kamu akan memasukinya, dan kamu tidak akan mampu menahan dirimu daripada masuk ke dalamnya." Dan penyeru ini ialah peringatan daripada Allah di dalam hati setiap orang Muslim.
- Islam adalah agama kebenaran dan jalan yang lurus yang menyampaikan kita ke syurga.
- Kewajipan beriltizam dengan batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala dan dengan apa yang dihalalkan dan diharamkan-Nya, dan bahawa bermudah-mudah padanya mendatangkan kebinasaan.
- Kelebihan al-Quran dan galakan untuk mengamalkannya, kerana padanya terkandung petunjuk, cahaya dan kejayaan.
- Rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya adalah apa yang Dia tanamkan dalam hati orang-orang beriman, yang menjaga dan mengingatkan mereka agar tidak terjerumus ke dalam kebinasaan.
- Allah dengan rahmat-Nya menjadikan bagi hamba-hamba-Nya penghalang-penghalang yang mencegah mereka daripada terjatuh ke dalam maksiat.
- Antara kaedah pengajaran adalah memberikan perumpamaan untuk memudahkan pemahaman dan penjelasan.
سنن الترمذي (4/ 539) (2859)، مسند أحمد (29/ 181، 183) (17634)، جامع العلوم والحكم (2/161)، فيض القدير (4/253)، التنوير شرح الجامع الصغير (7/100)، الفتح الرباني لترتيب مسند الإمام أحمد بن حنبل الشيباني (1/ 83).