Langkau ke kandungan
Hadis dengan huraian

Virtue of Prayer

3 hadis

Solat lima waktu, solat Jumaat ke solat Jumaat seterusnya, dan Ramadan ke Ramadan seterusnya adalah penghapus dosa-dosa yang ada di antara kedua-duanya, selagi mana dijauhi daripada dosa-dosa besar

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يقول: «الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ».
Daripada Abu Hurayrah RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: "Solat lima waktu, solat Jumaat ke solat Jumaat seterusnya, dan Ramadan ke Ramadan seterusnya adalah penghapus dosa-dosa yang ada di antara kedua-duanya, selagi mana dijauhi daripada dosa-dosa besar."
رواه مسلمDarjatصحيح
Huraian

Nabi صلى الله عليه وسلم memberitahu bahawa solat lima waktu yang diwajibkan sehari semalam, solat Jumaat setiap minggu, dan puasa bulan Ramadan setiap tahun, adalah penghapus bagi dosa-dosa kecil yang ada di antaranya, dengan syarat menjauhi dosa-dosa besar, Adapun dosa-dosa besar seperti zina dan meminum arak, maka tidak akan dihapuskan kecuali dengan taubat.

Faedah
  1. Dosa-dosa terbahagi kepada dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar.
  2. Penghapusan dosa-dosa kecil adalah bersyarat dengan menjauhi dosa-dosa besar.
  3. Dosa-dosa besar ialah dosa-dosa yang dinyatakan padanya hukuman had di dunia, atau datang padanya ancaman di akhirat; dengan azab, atau kemurkaan, atau yang terkandung di dalamnya ugutan, atau laknat ke atas pelakunya, seperti zina dan meminum arak.
Rujukan

صحيح مسلم (1/ 209) (233). شرح رياض الصالحين، لابن عثيمين (2/ 183). نزهة المتقين بشرح رياض الصالحين، لمصطفى سعيد الخن (1/ 158). تطريز رياض الصالحين، لفيصل آل مبارك (ص108). بهجة الناظرين شرح رياض الصالحين، لسليم بن عيد الهلالي (1/ 209).

Hadis ini di HadeethEnc.com

Bagaimana jika aku menunaikan solat yang diwajibkan, berpuasa pada bulan Ramadan, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram

عن جابر رضي الله عنه: أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: أَرَأَيْتَ إِذَا صَلَّيْتُ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ، وَصُمْتُ رَمَضَانَ، وَأَحْلَلْتُ الْحَلَالَ، وَحَرَّمْتُ الْحَرَامَ، وَلَمْ أَزِدْ عَلَى ذَلِكَ شَيْئًا، أَأَدْخُلُ الْجَنَّةَ؟ قَالَ: «نَعَمْ»، قَالَ: وَاللهِ لَا أَزِيدُ عَلَى ذَلِكَ شَيْئًا.
Daripada Jabir رضي الله عنه: "Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم, lalu bertanya: Bagaimana jika aku menunaikan solat yang diwajibkan, berpuasa pada bulan Ramadan, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram dan tidak menambah lebih daripada itu, adakah aku akan masuk syurga? Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: «Ya.» Lelaki itu berkata: “Demi Allah, aku tidak akan menambah lebih daripada itu."
رواه مسلمDarjatصحيح
Huraian

Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa sesiapa yang menunaikan solat lima waktu yang diwajibkan tanpa menambah sebarang solat sunat, berpuasa pada bulan Ramadan tanpa puasa sunat, meyakini kehalalan perkara yang halal dan melakukannya serta meyakini keharaman perkara yang haram dan menjauhinya, maka dia akan masuk syurga.

Faedah
  1. Seorang Muslim harus berusaha menunaikan kewajipan (fardu) dan meninggalkan perkara yang haram, dengan tujuan utamanya adalah untuk masuk syurga.
  2. Kepentingan melakukan yang halal dan meyakini kehalalannya, serta mengharamkan yang haram dan meyakini keharamannya.
  3. Melakukan kewajipan (fardu) dan meninggalkan perkara yang haram adalah sebab masuk ke syurga.
Rujukan

صحيح مسلم (1/ 44) (15). جامع العلوم والحكم (1/513). شرح الأربعين النووية للعثيمين (ص: 215). فتح القوي المتين في شرح الأربعين للعباد (ص 77).

Hadis ini di HadeethEnc.com

Kesucian adalah separuh iman. Ucapan Alhamdulillah memenuhi timbangan dan ucapan Subhanallah dan Alhamdulillah memenuhi apa yang ada di langit dan di bumi

عن أبي مالكٍ الأشعريِّ رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: «الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ، وَالْحَمْدُ لِلهِ تَمْلَأُ الْمِيزَانَ، وَسُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلهِ تَمْلَآنِ -أَوْ تَمْلَأُ- مَا بَيْنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، وَالصَّلَاةُ نُورٌ، وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ، وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ، وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ، كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو، فَبَايِعٌ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا».
Daripada Abu Malik al-Ash‘ari رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Kesucian adalah separuh iman. Ucapan Alhamdulillah memenuhi timbangan dan ucapan Subhanallah dan Alhamdulillah memenuhi apa yang ada di langit dan di bumi., Solat itu cahaya, sedekah itu bukti, sabar itu sinar dan al-Quran akan menjadi pembela atau pendakwamu. Setiap manusia keluar (pada waktu pagi), lalu menjual dirinya; sama ada membebaskan dirinya (dengan amalan soleh) atau membinasakannya (dengan dosa)."
رواه مسلمDarjatصحيح
Huraian

Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa kesucian zahir diperoleh melalui wuduk dan mandi. Ia merupakan syarat sah solat. Ucapan: “Alhamdulillah memenuhi timbangan” ialah pujian kepada-Nya SWT, dengan menyifatkan-Nya dengan sifat-sifat kesempurnaan, yang akan ditimbang pada hari kiamat dan memenuhi timbangan amal. Ucapan: “Subhanallah dan Alhamdulillah” ialah mensucikan-Nya daripada segala kekurangan dan menyifatkan-Nya dengan kesempurnaan mutlak yang sesuai dengan keagungan-Nya, disertai dengan kecintaan dan pengagungan terhadap-Nya, yang memenuhi antara langit dan bumi. "Solat itu cahaya” bagi hamba (yang terpancar) di dalam hatinya, wajahnya, kuburnya dan ketika dibangkitkan pada hari kiamat. “Sedekah itu bukti” menunjukkan keikhlasan iman seorang mukmin, berbeza dengan munafik yang menahan diri daripadanya kerana tidak mempercayai janji ganjarannya. “Kesabaran itu sinar” iaitu menahan diri daripada keluh kesah dan rasa kecewa merupakan cahaya yang menghasilkan kehangatan dan pembakaran, seperti cahaya matahari; kerana ia berat dan memerlukan perjuangan menundukkan nafsu daripada apa yang diingininya. Pemiliknya sentiasa diterangi cahaya, mendapat petunjuk dan terus berada di jalan yang benar. Kesabaran ini termasuk kesabaran dalam mentaati Allah, meninggalkan maksiat, serta bersabar menghadapi musibah dan pelbagai kesusahan di dunia. “Al-Quran menjadi pembela” melalui pembacaan dan pengamalannya, atau "menjadi pendakwa" jika ditinggalkan tanpa membaca atau mengamalkannya. Kemudian Rasulullah صلى الله عليه وسلم memberitahu bahawa semua manusia bangun, bergerak, tidak tidur dan keluar dari rumah-rumah mereka untuk melakukan pelbagai pekerjaan. Terdapat di antara mereka yang istiqamah dalam ketaatan kepada Allah maka dia membebaskan dirinya daripada api neraka dan ada pula yang menyimpang serta melakukan maksiat sehingga menjerumuskan dirinya ke dalam neraka.

Faedah
  1. Kesucian itu dua jenis: Kesucian zahir yang diperoleh melalui wuduk dan mandi, manakala kesucian batin diperoleh melalui tauhid, keimanan dan amal soleh.
  2. Kepentingan menjaga solat ialah ia menjadi cahaya bagi hamba di dunia dan di akhirat.
  3. Sedekah menjadi bukti keikhlasan iman.
  4. Kepentingan mengamalkan al-Quran dan mempercayainya agar ia menjadi pembela bukan pendakwa.
  5. Jika jiwa tidak diisi dengan ketaatan, ia akan memenuhi hidupmu dengan maksiat.
  6. Setiap manusia pasti melakukan sesuatu amalan sama ada ia membebaskan dirinya melalui ketaatan atau menghancurkannya melalui maksiat.
  7. Kesabaran memerlukan ketahanan dan pengharapan pahala serta terdapat kesukaran padanya.
Rujukan

صحيح مسلم (1/ 203) (223)، شرح الأربعين لابن دقيق العيد (ص 84)، شرح الأربعين النووية للعثيمين (ص: 231)، الرياض الزكية شرح الأربعين النووية للخضير (ص 293)، فتح القوي المتين في شرح الأربعين للعباد (ص 79)

Hadis ini di HadeethEnc.com

Setiap hadis, darjat, huraian dan faedah di sini dipaparkan tepat seperti yang diterbitkan oleh HadeethEnc.com, mengikut syarat penerbitan semulanya. Darjat itu tidak menamakan siapa yang menilainya. Terjemahan dan huraian adalah milik pengarangnya sendiri, dan sebahagiannya menyatakan hukum; penyemak Sabīl belum menelitinya. Hadis berbahasa Arablah teksnya. Sumber: HadeethEnc.com