Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa setiap Muslim yang mukallaf perlu setiap hari memberikan sedekah bagi setiap sendi daripada sendi-sendi tulangnya secara sukarela kepada Allah Ta‘ala, sebagai tanda syukur atas kesihatan dan Allah menjadikan tulangnya dengan sendi-sendi agar dia mampu menggenggam dan melepaskan sesuatu. Sedekah itu dilaksanakan melalui amal-amal kebajikan dan tidak terhad kepada pemberian harta sahaja, antaranya: Menyatukan dan memperbaiki hubungan antara dua pihak yang berselisih adalah sedekah. Bantuan kamu kepada orang yang lemah untuk menaiki tunggangannya atau mengangkat barangnya adalah satu sedekah. Ucapan yang baik, sama ada zikir, doa, salam, atau seumpamanya adalah sedekah. Setiap langkah yang engkau ambil menuju solat adalah sedekah. Menyingkirkan gangguan di jalanan adalah sedekah.
- Susunan tulang manusia dan kesempurnaannya merupakan antara nikmat terbesar Allah Ta‘ala kepadanya, lalu setiap tulang memerlukan sedekah secara khusus bagi menyempurnakan kesyukuran atas nikmat tersebut.
- Galakan untuk memperbaharui rasa syukur setiap hari agar dapat berterusan menikmati nikmat-nikmat tersebut.
- Galakan untuk sentiasa mengamalkan solat sunat dan sedekah setiap hari.
- Keutamaan memperbaiki hubungan sesama manusia.
- Galakan untuk seseorang membantu saudaranya (yang lain) kerana pertolongannya itu dikira sebagai sedekah.
- Galakan untuk menghadiri solat berjemaah dan berjalan menuju kepadanya serta menjadikan masjid itu makmur dengan kehadiran tersebut.
- Kewajipan menghormati jalan-jalan yang digunakan oleh umat Islam dengan menjauhi segala yang boleh membahayakan atau menyusahkan mereka.
صحيح البخاري (4/ 56) (2989). صحيح مسلم (1/ 498) (720). التحفة الربانية في شرح الأربعين حديثًا النووية، مطبعة دار نشر الثقافة، الإسكندرية، الطبعة: الأولى، 1380 هـ. شرح الأربعين النووية، للشيخ ابن عثيمين، دار الثريا للنشر. فتح القوي المتين في شرح الأربعين وتتمة الخمسين، دار ابن القيم، الدمام المملكة العربية السعودية، الطبعة: الأولى، 1424هـ/2003م. الفوائد المستنبطة من الأربعين النووية، للشيخ عبد الرحمن البراك، دار التوحيد للنشر، الرياض.